KUANTAN: Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi mempertingkat dan mengatasi masalah bekalan air di Raub dan Lipis.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, Kerajaan Persekutuan menyediakan dana RM18 juta bagi mengatasi masalah kekeruhan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) di Raub.
Bakinya adalah daripada peruntukan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah bekalan air ketika musim panas di Lipis.
Beliau berkata, pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) sedang melaksanakan kerja berkaitan khususnya pembinaan Pre-Sedimentation Tank yang membabitkan LRA Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau.
Katanya, matlamat utama adalah untuk mengurangkan kadar kekeruhan tinggi pada sumber air mentah sebelum mengalir di tiga LRA terbabit.
“Ia bagi mencapai kualiti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seterusnya dapat membekalkan air bersih terawat kepada penduduk.
“Projek ini dijangka mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja reka bentuk dan perolehan, disusuli pembinaan.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan memastikan projek ini dapat dilaksana dan disiapkan lebih cepat bagi memastikan penduduk Raub yang terkesan dengan masalah ini dapat kembali menikmati bekalan air bersih terawat dalam tempoh lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai projek RM12 juta di Lipis pula, Wan Rosdy berkata, PAIP akan menyegerakan pelaksanaan projek perintis pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi ketika cuaca panas.
Katanya, menerusi kaedah ORS itu, ia juga dapat mengurangkan kadar kekeruhan tinggi pada sumber air mentah seterusnya dapat menjimatkan kos operasi bagi kerja rawatan air di LRA.
“Projek ini pula dijangka mengambil masa 19 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja reka bentuk dan perolehan disusuli pembinaan.
“Kerajaan negeri berharap projek perintis ORS ini akan dapat menjadi antara alternatif bagi menjamin keperluan air mentah mencukupi dan tidak keruh, seterusnya diproses menjadi air bersih terawat yang diperlukan oleh penduduk Pahang,” katanya.