Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) secara rasminya telah di tubuhkan pada 1 Februari 2012 melalui pengkorporatan Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP) dan merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Pahang. Dengan pengkorporatan JBAP, Kerajaan Negeri dengan secara rasminya menyerahkan urusan operasi merawat, membekal, membersih dan memungut hasil air daripada penjualan air bersih yang selama ini dikendalikan oleh JBAP kepada PAIP.
PAIP telah dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai operator bekalan air untuk Negeri Pahang selaras dengan peruntukan Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006). Dengan itu, PAIP berfungsi memberi perkhidmatan bekalan air bersih yang memuaskan dari segi kuantiti dan kualiti kepada pengguna dengan cara yang paling berekonomi untuk memenuhi keperluan pembangunan sosial dan ekonomi Negeri Pahang Darul Makmur.
Selain daripada itu, PAIP juga bertanggungjawab ke atas perancangan, pembangunan dan pengurusan Sistem Bekalan Air Negeri Pahang Darul Makmur di samping mengebil dan memungut hasil bekalan air bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang. PAIP juga bertindak sebagai penasihat atau perunding kepada Kerajaan Negeri Pahang kepada perkara-perkara yang melibatkan industri bekalan air.